Monday, October 26, 2009

Semoga Mendapat Haji Yang Mabrur..

PADANG MATSIRAT, 20 Okt - Kumpulan pertama jemaah haji dari Langkawi telah berangkat menuju Tanah Suci Mekah sekitar jam 5.30 petang hari ini. Keberangkatan para jemaah diiringi oleh seluruh jentera PAS Langkawi.

Bakal-bakal tetamu Allah bersama ahli keluarga telah berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang terletak di kawasan Padang Matsirat selepas solat Asar. Turut serta dalam penghantaran jemaah haji ini, jentera Pemuda diwakili Setiausaha Al-Fadhil Ustaz Nazmi bin Natzeri, Bendahari Sdr Muhammad 'Akasyah Bin Azinan serta AJK yang tiba bersama saf kepimpinan kawasan.

"Seluruh kepimpinan Muslimat PAS Langkawi mendoakan agar para jemaah dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang proses mengerjakan haji. Kami berharap mereka bakal memperolehi haji yang mabrur," jelas Ustazah Fatiinah binti Ibrahim, Ketua Muslimat PAS Langkawi yang tiba bersama AJK.


Menurut Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah, Sdr Ahmad bin Sidek, dianggarkan sekitar 300 orang bersama-sama mengiringi bakal-bakal haji. "Ini menunjukkan satu sifat ukhwah yang tinggi antara kepimpinan PAS Langkawi dengan masyarakat," tegas beliau.

Pihak Dewan Pemuda PAS Langkawi juga mengambil kesempatan mengucapkan selamat berangkat ke tanah suci dan semoga mendapat haji yang mabrur serta dipermudahkan segala urusan sepanjang berada di sana.

0 comments: