Tuesday, October 27, 2009

Teks Usrah Minggu Ini


BERANI

MUQADDIMAH

Perkara paling penting yang perlu ada bagi pemuda mukmin adalahkekuatan dan keberanian untuk menzahirkan kebenaran terutama ke atas musuh-musuhnya. Kedua-duanya berkait rapat dengan hubungan yang baik dengan Allah. Hubungan ini terjalin melalui tauhid, cinta, harapan, takut, taubat, kusyuk, tawakkal dan sentiasa berada di sisiNya serta mencukupkan diri dari yang selainNya.

Dalam hal ini, Allah SWT telah pun menjelaskan dalam kitabnya bahawa orang yang berhak menjadi pemimpin di bumi ialah manusia yang memiliki hati yang takut kepada Allah. Sifat takut hanya pada Allah akan menzahirkan rasa berani terhadap selain Allah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan Kami pasti akan menempatkan kamu di negeri-negeri itu setelah mereka (orang Kafir) . Yang demikian itu adalah untuk orang-orang yang takut (menghadap) kehadratKu dan takut akan ancamanKu”. –Ibrahim ayat 14

BERANI YANG DITUNTUT

Sebenarnya sifat berani yang dituntut agama ialah berani yang bersifat positif sahaja. Dengan kata lain, berani pada tempatnya atau berani kerana benar yang mendatangkan kebaikan kepada diri, jamaah dan masyarakat.

Sebagai contoh ialah berani hanya kepada apa yang disuruh Allah SWT terutama di dalam usaha menegakkan agamaNya. Berani seperti ini adalah sikap diri yang mendorong sifat rajin dan berwaspada, sebab dengan adanya sifat-sifat ini, manusia akan merasa bahawa segala gerak gerinya hanyalah untuk mencari ridha Allah dan sedar bahawa ia sentiasa dalam pengawasan dan pertolonganNya.

BERANI YANG DITEGAH

Berani yang ditegah agama ialah berani kepada sesuatu yang patut ditakuti atau berani melanggar syariat dan peraturan yang baik. Dengan kata lain, berani yang merugikan diri sendiri, jamaah dan masyarakat, setidak-tidaknya berani yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Berani dalam hal yang tidak baik sama buruknya dengan perasaan takut melakukan yang baik dan berguna, kerana kedua-duanya akan merosak dan menggagalkan hidup seseorang. Tidak menghairankan mereka yang tidak mempunyai keberanian tidak akan meningkat taraf keupayaan perjuangannya. Mereka terlalu mudah menyerah kepada perasaan takut yang menghantui mereka. Hal itu merupakan kesalahan besar terutama terhadap pemuda Islam kerana ia tidak boleh menzahirkan kemampuan yang sebenar

Mungkin kita boleh mencontohi seekor semut yang sedang berusaha mengambil gula di dalam botol, meskipun kita menghalaunya, namun ia tidak mudah mengalah sebelum mendapatkan gula tersebut. Dengan berani, gigih serta tekun ia dapat membawa keluar gula yang terkadang lebih besar dari tubuhnya.

RASUL PELOPOR KEBERANIAN

Bani Israil telah lama dicengkam kejahatan dan kezaliman Firaun. Akibatnya timbul ketakutan yang luar biasa di dalam diri mereka. Antara perlakuan Firaun kepada mereka ialah:
-Firaun membunuh semua anak lelaki yang baru lahir
-Firaun merperlakukan mereka sebagai warga kelas dua
-Firaun menyuruh mereka menyembahnya dan mengaku dirinya tuhan

Perubahan besar Bani Israil berlaku selepas Nabi Musa menerima wahyu dari Allah di Bukit Thursina. Ia bermula apabila Nabi Musa sedar tentang siapa dirinya dan tahu tentang posisi Firaun yang sebenarnya. Maka terzahirlah keberanian Nabi Musa apabila:

-Datang kepada Firaun dan memintanya membebaskan Bani Israil
-Mengajak Firaun menyembah Allah
-Menentang ahli sihir Firaun
-Memimpin Bani Israil berhijrah keluar dari kekejaman Firaun

Lihatlah wahai para pemuda, ketika Nabi Musa tahu tentang diri dan potensinya, berlakulah perubahan. Nabi Musa yang datang menghadap bukan lagi sosok yang menjadi warga kelas dua, diburu tentera Firaun dan anak angkat di istana Firaun, sebaliknya ia adalah Rasulullah yang menjadi pelopor perubahan kepada Bani Israil dengan penuh keberanian.

Justeru itu, sedarlah sahabat bahawa kita adalah “Musa-Musa kecil” yang berhadapan dengan banyak “Firaun-Firaun” yang hadhir dalam berbagai rupa bentuk kehidupan kini. Iaitu Firaun-Firaun yang menakuti kita dan membuatkan hidup kita berada di jalur yang lemah, bacul dan salah.

Tugas kita sebagai “Musa-Musa kecil” adalah melawan segala bentuk “Fir’aunisme kehidupan” yang merosakkan itu. Sebab, selagi kita tidak melawan, kita akan terus dikuasai hingga tidak mampu melakukan perubahan kearah yang lebih baik.


ALQADISIYAH CETUS KEBERANIAN

Al Qadisiyah adalah satu lagi symbol keberanian dalam sejarah awal Islam. Dari satu sudut, ia melambangkan pertarungan sebuah Negara baru yang bermodalkan nilai ubudiyah yang kental melawan sebuah kuasa besar dunia. Dari sudut lain pula, ia melakarkan dialog yang menonjol makna keberanian yang sangat jelas.

Sebagai peristiwa sejarah, Al Qadisiyah adalah lokasi pertempuran besar antara pasukan Islam dengan pasukan Parsi. Negara Madinah yang masih terlalu muda mengirimkan panglima Saad bin Abi Waqqas, sementara Parsi diwakili lansung panglima besarnya Rustum. Tambahan pula kekuatan pasukan Islam hanya seperempat pasukan musuh yang membariskan tentera bergajahnya sebagai kenderaan pemanah namun pertempuran yang berlaku menjadi punca kehancuran kuasa besar Parsi.

Menjelang pertempuran, berlaku dialog yang menonjol makna keberanian yang jelas. Ketika itu, Rustum hairan dengan keberanian pasukan kecil Negara baru dari semenanjung Arab itu

Kemudian ia bertanya kepada Rabi’, “sebenarnya dengan apa dan untuk apa kamu datang?”

Rabi’ menjawab tangkas soalan ini, “kami datang membebaskan manusia dari perhambaan manusia menuju perhambaan kepada Allah, dari kezaliman cara hidup kepada keadilan Islam dan dari belenggu kehidupan dunia yang sempit kepada keluasan akhirat.

AL-FATIH

Sultan Muhammad Al-Fatih juga telah meninggalkan sejarah keberanian yang luar biasa di dalam usaha membebaskan kotaKonstantinopel. Keberaniannya bukan sekadar berani berhadapan dengan kuasa besar Romawi bahkan berani mencuba untuk mencapai janji Rasulullah SAW dengan melaksanakannya dan juga berani mencuba sesuatu yang baru seperti melayarkan kapal armada Turki di darat dengan menempuh jarak sepuluh batu apabila kapal sudah terperangkap di laut.Di atas kayu-kayu balak yang dilumuri dengan lemak, armada kapal perang Al-Fatih ditarik oleh para tentera dengan bantuan kuda dan lembu.

Al Fatih dengan semangat pelaksanaannya mendapat ilham yang penuh dengan kecerdasan, kekuatan, keberanian dan keajaiban untuk mewujudkan janji yang lama tertangguh. Keinginannya untuk mewujudkan janji itu melahirkan sejarah kepahlawanan yang mengagumkan..

PEMUDA YANG BERANI

Saudara sekelian, apa yang kita inginkan dari perbincangan ini ialah kefahaman dan kesedaran bahawa sifat berani amat penting kepada kita. Kita perlu memiliki sifat berani didalam banyak perkara, antaranya:
-berani melakukan perkara yang bermanfaat dan menguntungkan Islam
-berani mengakui kekurangan
-berani menghadapi kritikan
-berani mencetus dan memimpin perubahan
-berani mengubah suasana dan adat yang rosak
-berani membebaskan diri dari kawalan serta pengaruh yang buruk
-berani bersikap jujur
-berani mempertahankan keyakinan
-berani menerima resiko
-berani menjadi “pemain” bukan sekadar “penonton” dalam perjuangan
-berani mengemukakan pandangan dan kritikan membina
-berani “bangun” setiap kali “jatuh”
-dan lain-lain

Namun bukanlah berani yang kita maksudkan di sini secara membuta tuli, sebaliknya mestilah keberanian yang dibina di atas kebijaksanaan dan penuh hikmah.

Mungkin ada di kalangan kita mengukur keberanian melalui sikap yang ditunjukkan, contohnya dikira berani kalau dapat menegur orang lain dengan lantang dan keras, bahkan dikira amat berani jika mampu “cerkah” orang lain. Ya, ada ketika kita mesti bersuara lantang dan keras, itu adalah salah satu ciri pemuda namun kita mesti bijak menggunakan “sifat keras” itu.

Adalah amat baik jika kita gunakan sifat berani kita untuk mengemukakan cadangan yang baru dan meneroka sesuatu langkah terkini untuk memajukan perjuangan kita.
Akan tetapi janganlah pula kerana terlalu berhikmah akhirnya kita menjadi bacul, lembik, ceroi dan yang semasa dengannya.

PENUTUP

Wahai sahabat-sahabat para pemuda!
Renunglah apa yang diingatkan oleh Rasulullah SAW di dalam sabdanya yang bermaksud:
“Janganlah salah seorang dari kamu menghina dirinya sendiri”.
Para sababat bertanya: “Wahai Rasulallah SAW, bagaimana seseorang itu menghina dirinya sendiri?”. Rasulullah menjawab dengan sabdanya: ‘seseorang yang melihat satu perkara yang patut ia memberi teguran kerana Allah, tetapi ia tidak berbuat demikian, maka pada hari kiamat kelak Allah SWT akan bertanya kepadanya, apakah yang menghalang kamu daripada berkata (menegur) dalam perkara tersebut?, lantas orang itu menjawab: “kerana takutkan manusia”, Allah berfirman kepadanya: “Sepatutnya Akulah yang berhak engkau takut”

0 comments: