Tuesday, September 6, 2011

Ziarah Ramadhan dan Eidul Fitri di Hospital Langkawi

23 Ramadhan 1432H, Hospital Langkawi - Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi mengambil inisiatif sempena Ramadhan pada tahun ini untuk mengadakan program ziarah pesakit-pesakit di Hospital Langkawi, program yang disusun oleh Unit Amal PAS Langkawi ini melibatkan seramai 12 orang anggota yang bergerak dari wad ke wad untuk bertanya khabar, mendoakan pesakit serta menyampaikan cenderahati. Rata-rata pesakit yang ditemui termasuk beberapa pelancong asing memuji usaha tersebut dan berharap usaha ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Sdr Zulkifli Hj Noh, Ketua Pemuda PAS Langkawi sedang beramah mesra serta menyampaikan sedikit cenderahati dengan salah seorang pesakit.

Sdr Ahmad Manaf, Pengerusi Unit Amal PAS Langkawi menemui kenalan beliau yang juga terpaksa menerima rawatan di Hospital Langkawi.

Sunday, October 17, 2010

Sdr Suhaizan Kayat dan CheguBard Menggegar Ulu Melaka

Markas PAS Ulu Melaka, 15 Oktober 2010
Satu ceramah telah berjaya dianjurkan sempena sambutan 30 tahun Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi. Penceramah jemputan terdiri dari Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat Sdr Suhaizan Kayat bersama Ahli MPP Keadilan Malaysia Sdr Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard. Majlis bermula jam 9.30 malam dengan tayangan berkaitan isu kenaikan harga air di kedah yang disediakan oleh pihak Urusetia Penerangan PAS Kedah dan kemudian diikuti ceramah Sdr Suhaizan dan kemudian Sdr Badrul Hisham. Majlis berakhir jam 12 tgh malam.
Part 1
Part 2
Part 3

Sunday, August 15, 2010

POLITIK DALAM KAIN TAK MEMBIJAKKAN RAKYAT

artikel asal dari http://chegubard.blogspot.com/2010/08/politik-dalam-kain-tak-membijakkan.html

Berkesempatan diperdengarkan beberapa keratan rakaman teman - teman lama yang bersama Ezam menyeberang untuk bersama regim penguasa dalam parti Umno.

Umno yang makin hilang hujah dalam mempertahankan tindakan mereka dari serangan sudah tentu seronok mempergunakan mereka ini. Garis pendekatan mereka yang sensasi, bermain politik selak kain cukup untuk menarik perhatian rakyat dan mengalihkan tumpuan terhadap isu polisi dan dasar.

Cuma selaku anak muda hendak mempertegaskan politik selak kain ini tidak mendidik rakyat sama sekali.

Ramai yang hendak cheGuBard dan beberapa teman-teman bekas Exco Pemuda Keadilan Nasional atau Exco Angkatan Muda Malaysia di bawah Ezam menjawab serangan Ezam.

Kalau hendak jawab dan berlawan politik dalam kain mudah sangat.

Ghani Haron dalam banyak siri ucapanya menumpang pentas Ezam sering menyerang Azmin dengan menyatakan akan membogelkan Azmin. Walaupun semua dalam parti tahu selepas Ghani keluar ISA dia 'dibela' oleh Azmin. Pada ketika itu ramai kelompok seperti ini dalam parti di mana dia mahu disudu kerana pada mereka, mereka hilang punca pendapatan kerana bersama perjuangan maka pemimpin utama parti harus memikirkan makan minum mereka dan keluarga.

Masih teringat dalam satu mensyuarat Pemuda Keadilan terpaksa dihentikan kerana Ghani Haron dan Zahid Md Arif bergaduh. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Saifuddin Nasution pada ketika itu memangku tugas Ezam Md Nor terpaksa dihentikan kerana Zahid dengan lantang menuduh Ghani ada hubungan 'luar biasa' dengan isteri Ezam.

Ramai dalam Pemuda pada ketika itu mengetahui bagaimana Ghani sering bangga kerana ke sana sini beritahu orang dia pakai pakaian Ezam dan diberi tidur rumah Ezam.

Zahid dalam mesyuarat juga menuduh Ghani pernah cuba 'try' isteri seorang tokoh Sarawak tempat dia menumpang ketika mereka ke Sarawak untuk program parti. Ghani minta Zahid menarik tuduhan itu, tetapi Zahid enggan.

Tak perlu diteruskan kisah ini. Kini Zahid, Ghani dan Ezam semuanya duduk dalam Umno dan cuba bermain dalam garis politik akhlak dengan kononya membongkarkan politik dalam kain. Kalau nak kata orang dayus tidakkah Ezam dayus kerana terus membela Ghani Haron yang pernah dikaitkan dengan hubungan istemewa bersama isterinya ? cukup............

Pasal main sumpah-sumpah pun cukuplah juga.... Ezam paksa Kak Wan sumpah.... apa kata paksa pula kak Bahirah isteri Ezam sumpah nafi tuduhan Zahid mengenai hubungan Ghani dan dia semasa Ezam dalam penjara, kemudian paksa pula Ghani atau Zahid sumpah bukan susah semua dah ada dalam Umno.... lebih lagi paksa Lokman Adam yang kini exco pemuda Umno sumpah mengenai tuduhanya terhadap Ezam iaitu mengenai harta Ezam yang disebat dari sumbangan terhadap gerakan reformasi, suruh Ezam sumpah nafi cubaan mengorat Nurul Izzah ...ops lupa Lokman dah sumpah cuma Ezam tak jawab sumpahnya.... persoalanya bila nak sudah...??

Tahun 1998 di Batu Pahat, Anwar sudah bersumpah atas nama Allah bahawa dia tak terlibat dan tuduhan liwat semua fitnah....tapi apa jadi ...... terus fitnah, tangkap , pukul...cuba dibunuh....

Sumpah ini ada kaedahnya bukan main sumpah sumpit garam belacan jer..... Mufti Perak juga pernah kata Anwar tak perlu bersumpah..... Rujuk Yusuf Qardawi......

Cuma persoalanya apa untungnya pada rakyat ? Memang ia sensasi dan menarik tetapi tidak sama sekali mendidik.

Kerana itu cheGuBard mengajak diri dan rakan - rakan untuk bermain politik yang membincangkan dasar dan polisi. Menyerang lawan politik perlu dengan fakta yang mendidik dan tersangkut rakyat bukan kerana isu sulit dan peribadi.

Kepada penyokong Pakatan Rakyat khususnya teman anak muda juga harus ditegaskan tinggalkan politik serang peribadi selak kain dan seumpamanya. Politik sensasi yang tak mendidik massa rakyat.

Dalam kes Altantuya, ramai yang suka mensensasikan isu tersebut sehingga isu itu dilihat sebagai isu seks, perempuan simpanan dan seumpamanya. Buku Misteri di Sebalik pembunuhan Altantuya dikeluarkan kerana untuk menjelaskan isu itu demi membetulkan cara rakyat melihat isu itu. Siapa juga ada hubungan seks dengan Altantuya itu seharusnya bukan keutamaan, tetapi yang seharusnya diberikan keutamaan ialah wang negara yang hilang, proses perundangan dan penguatkuasaan yang pincang.

Contohnya rekod imegresen Altantuya hilang dari simpanan, malah ketika dibangkitkan oleh Azmin dalam Dewan Rakyat mengenai isu ini jelas Menteri juga tak menjawab, maka ini sebagai bukti dan rakyat harus sedar betapa negara boleh dikawal bagi menutup kelaku jenayah orang berkepentingan tinggi.

Kes Altantuya harus dibincangkan keluar dari kerangka 'politik selak kain'.....ia harus dibincangkan dari segi kaitan dengan rakyat dan negara.

Kepada semua cukuplah politik menyerang kotor dan memasuki ruang peribadi seseorang. Kita harus jujur dengan diri. Memang ada sebuah blog milik teman yang mengaitkan nama cheGuBard dengan serangan politik peribadi terpulangnya, cheGuBard tidak mahu terlibat kerana ia jelas tidak mendidik. Maaf kepada saudara Ezam dalam hal tersebut saudara lebih kenal penulis blog tersebut dari cheGuBard.

Kepada Ezam M.Nor, saudara pernah mengajak cheGuBard membuka sebuah organisasi yang dinamakan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK), kerana kononya memberikan penumpunan mendidik rakyat mengenai demokrasi dan rasuah yang rakyat sering tidak faham. Kita pernah bersama dalam banyak program dalam dan luar negara atas nama organisasi ini menimba ilmu dan pengalaman demi mendidik rakyat.

Walaupun akhirnya GERAK mati tanpa nisan. Alhamdulillah hampir semua anak muda didikan GERAK semuanya celik pendidikan politiknya. Nazree dan teman-teman muda lain semuanya tidak bersama saudara ke dalam Umno walaupun didesak untuk bersama kerana mereka kurang yakin garis politik yang kurang mendidik massa.

Cuma cheGuBard ingin bertanya mana dokumen yang berkilo - kilo kita kumpulkan bersama dalam operasi membongkar amalan korupsi pimpinan Umno. Mana dokumen korupsi Kementerian Pertanian (dibawah Muhiyuddin Yassin), dokumen korupsi Khir Toyo, Noh Omar, Hishamuddin Tun Hussien dan paling besar dan lengkap kita pernah kumpulkan dokumen korupsi Nor Mohamed Yaakop. Ada banyak lagi butiran dokumen rasuah tersimpan di GERAK. Adakah semua dokumen ini sebagai tukaran kepada surat lantikan sebagai senator ?

Saudara Ezam lupakah saudara dengan keputusan saudara untuk mendedahkan dokumen rasuah Rafidah Aziz dan rahim Thamby Chik yang dilabel sulit (OSA), walaupun dinasihatkan peguam agar guna cara lain kerana saudara pasti ke penjara namun saudara didik anak muda agar berani, saudara dedahkan juga..... Saudara ke penjara bukan kerana Anwar tetapi kerana keberanian saudara mendedahkan dokumen OSA yang melindungi rasuah pimpinan Umno....

Malangnya anak muda kecewa melihat saudara akhirnya sujud berkongsi pentas dengan Rafidah dan Rahim perasuah yang menyumbatkan saudara ke dalam penjara demi menyerang Anwar Ibrahim. Mana prinsip yang saudara sering laungkan dan didik anak muda ? Ketika saudara meletakan jawatan ramai yang ikut.....ketika saudara keluar parti ramai juga yang ikut ..... tetapi ketika saudara masuk Umno hanya dua tiga kerat yang ikut ......fikirkanlah..........

Satu ketika dahulu masih teringat bagaimana setia saudara dengan Anwar. Jangan kata apa pun terhadap Anwar walau bergurau sesama teman, pasti air muka saudara berubah. Pada ketika itu jangan pertikai setianya saudara kepada Anwar. Ketika parti sedikit terpesong dalam membincangkan isu, saudara mengarahkan teman - teman melancarkan Gerakan Anwar Bebas (GAB) agar semua kembali fokus isu Anwar..... bagi saudara semuanya kerana Anwar..... Kini ketika dalam Umno begitu jugalah saudara pula fokus menyerang seolah semuanya kerana Anwar....

Kerana itu anak muda harus pergi lebih jauh tinggalkan politik naungan. Anak muda harus bangkit dengan berani dan ilmu demi menerobos pintu perubahan. Perjuangan ini bukan sekadar persoalan individu tetapi ia kerana proses kemerdekaan rakyat. Perjuangan harus dilandaskan dengan kefahaman dan kesedaran bukan ikutan semata. Jika kita masuk penjara sekalipun ia kerana kesedaran diri dan amat rugilah kalau kita masuk penjara atau mati dalam perjuangan kerana hanya mengikut.............

Anwar kini ialah faktor penyatu gerakan massa yang dipersetujui bersama, itu sahaja selebihnya ia adalah kerana kita dan anak cucu kita.

Kepada anak muda yang ada dalam regim penguasa mahupun yang berada di pihak progresif, ayuh kita tekadkan bersama tinggalkan mainan politik garis 'selak kain' yang tidak mendidik lihat ke depan.....ayuh kita debatkan soal polisi, dasar dan proses penyampaian..... pertembungan biar dalam debat pengurusan dan kepimpinan. Aank muda yang ada dalam regim dicabar semarakkan politik perdebatan terbuka.

tulisan mso

Wednesday, May 5, 2010

KULIAH AGAMA - MEI 2010


Sunday, April 18, 2010

Pemuda PAS Langkawi prihatin.

Sdr Zulkifli bin Hj Noh, Naib Ketua Pemuda PAS Langkawi menyerahkan sumbangan DPPPL kepada Sdr Ahmad Basri Man sambil diperhatikan oleh MKK Kg Pasir Hitam dan saf AJK DPPP Langkawi..

Potret Adik Mohd Hafiz yang pernah ceria satu ketika dulu..

Pasir Hitam, 15 April : Dewan Pemuda PAS Langkawi yang diketuai oleh Naib Ketua Pemuda Sdr Zulkifli Hj Noh telah mengadakan lawatan prihatin ke Kg Pasir Hitam bagi menemui keluarga adik Mohd Hafiz Abdullah iaitu pesakit ketumbuahan kronik di dalam perut. Rombongan ini turut disertai MKK Kg Pasir Hitam Sdr Mohd Nazri Bin Nusruddin dan Pengerusi PASTI Sg Itau Hj Mahathir bin Abdul Rahman. Menurut Ahmad Basri bin Man yang merupakan penjaga kepada adik Mohd Hafiz, penyakit anak angkatnya itu kini berada pada tahap yang agak kritikal dan menurut doktor yang merawat anaknya ketumbuhan tersebut dibimbangi akan merosakkan fungsi buah pinggang Mohd Hafiz. Doktor juga mencadangkan agar keluarganya meneruskan rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang. Merenung kedaifan keluarganya yang hanya bergantung kepada perniagaan kedai makan secara kecil-kecilan beliau memohon ihsan dan simpati orang ramai agar dapat membantu beliau meringankan kos perubatan serta perbelanjaan-perbelanjaan lain.

Bagi hamba Allah yang bersimpati serta ingin menyumbang bolehlah menghubungi beliau di talian : 012-5012746 (Ahmad Basri).

Pihak DPPPL mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kembali kesihatan dan keceriaan adik Mohd Hafiz..aamin.

Monday, April 5, 2010

SUKANEKA PASTI LANGKAWI..

Padang Bola Pasir Hitam, 25 Mac 2010 - Pihak DPPPL mengucapkan tahniah kepada seluruh tenaga kerja Sukaneka PASTI Langkawi serta para waris yang memberikan sepenuh komitmen bagi menjayakan sukaneka tahun ini. Pihak DPPPL amat berbangga di atas sambutan yang sangat memberangsangkan di kalangan para waris dan juga masyarakat setempat terhadap program-program anjuran PAS Langkawi.

Banner Sukaneka PASTI yang diletakkan dihadapan pintu masuk ke padang bola Pasir Hitam..

Antara waris dan masyarakat setempat yang hadir memberi sokongan..

Acara bawa bola pingpong dalam sudu...acara-acara yang macam ni memang budak-budak pakar..

Pengarah Program Sdr Zulkifli Hj Noh bersama Sdr Ahmad Manaf AJK DPPPL menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran Sukaneka PASTI Langkawi kali ini..

Antara hadiah dan pingat yang akan diberikan kepada para pemenang..

Acara yang paling diminati dan dinanti-nantikan oleh orang ramai ialah bola sepak..lagak serta gaya murid-murid PASTI bermain bola sangat menarik dan menghiburkan..

Acara untuk waris juga diadakan seperti lari dalam guni, tarik upih dan sebagainya..

Tahniah kepada semua tenaga kerja Sukaneka PASTI Langkawi 2010 atas kejayaan penganjuran sukan kali ini.

Saturday, March 20, 2010

Kursus Pemantapan Tulisan Jawi



Ulu Melaka, 20 Mac - Kelmarin Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi telah menganjurkan Kursus Pemantapan Tulisan Jawi khusus kepada tenaga pengajar institusi yang berada di bawah kendalian DPPPL bertempat di SRIDU Langkawi. Kursus ini bermula tepat jam 9 pagi dikendalikan oleh Ustaz Sobri bin Aziz bersama 2 orang anak beliau yang bertindak sebagai fasilitator kursus. Kursus kali ini juga sangat istimewa kerana pengendali kursus menggunakan beberapa gajet baru yang jarang-jarang dilihat. Persiapan beliau untuk menjayakan kursus kali ini sangat-sangat dikagumi oleh pihak penganjur walaupun beliau tidak menerima sebarang imbuhan dari pihak DPPPL.

Sasaran kursus kali ini adalah untuk memberi input baru kepada tenaga pengajar SRIDU dan PASTI khususnya yang berkaitan dengan kaedah-kaedah terkini tulisan jawi. Menurut pengarah program ini Ustaz Nazmi bin Natzeri beliau menyifatkan kursus yang dianjurkan ini sebagai berjaya dan beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan kursus ini khususnya kepada seluruh tenaga pengajar SRIDU dan PASTI Langkawi kerana berjaya menyertai kursus yang julung-julung kali diadakan ini. Pihak DPPPL juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengendali kursus Ustaz Sobri bin Aziz dan anak-anak beliau kerana telah menyumbangkan tenaga serta ilmu mereka untuk kemajuan anak-anak SRIDU dan PASTI Langkawi. Kursus ini berakhir jam 1.15 tengahari.

Monday, February 22, 2010

Penyerahan Jersi Bola Sepak oleh YDP PAS Langkawi


Padang Rojam, 21 Feb - Kelmarin berlangsung majlis ringkas penyerahan jersi bola sepak kepada pemain-pemain Mawat FC bertempat di Padang Rojam, Makam Mahsuri. Majlis penyerahan jersi tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi En Zubir Bin Ahmad, manakala pihak Mawat FC diwakili oleh ketua pasukannya Sdr Shaharudin Bin Mat Radzi. Turut bersama dalam majlis itu Pengerusi Lajnah Sukan dan Kebudayaan Dewan Pemuda PAS Langkawi Sdr Yusof bin Che Rus serta Ketua Dewan Ulama Kawasan Langkawi Ustaz Halim.

Para pemain menyatakan kesyukuran serta berterima kasih di atas sumbangan YDP PAS Kawasan Langkawi itu dan berharap pihak PAS dan kerajaan negeri akan sentiasa mengikuti perkembangan serta mengambil berat aktiviti dan kegiatan sukan yang membabitkan remaja dan belia di Daerah Langkawi.

Majlis berakhir kira-kira jam 6.30 petang.


Sdr Yusof bin Che Rus Pengerusi Lajnah Sukan dan Kebudayaan DPPP Langkawi menunjukkan jersi yang disumbangkan oleh YDP PAS Langkawi kepada Mawat FC.

En Zubir bin Ahmad, YDP PAS Kawasan Langkawi menyerahkan jersi bola sepak kepada Kapten Pasukan Mawat FC, Sdr Shaharudin Bin Mat Radzi.

Para pemain Mawat FC tidak melepaskan peluang mencuba jersi baru.

Saturday, February 20, 2010

'' Jom Ziarah Tok Guru ''


Kota Bharu 18-20 Feb - Satu program belajar sambil melawat telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Pemuda Cawangan (JPC) Kg Gelam Kedawang dengan kerjasama DPPPL telah berjaya dilaksanakan pada hujung minggu yang lalu. Program yang diberi nama 'Jom Ziarah Tok Guru' itu bermula dengan lawatan ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon yang disambut mesra oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah Dr Hj Hamdan bin Mohamed Khalib, selain itu rombongan juga disambut oleh Ketua Pemuda DPPNK Ustaz Ahmad Yahyaserta Setiausaha DPPNK Ustaz Rosli bin Azmi.

Selesai majlis sambutan dan jamuan, rombongan yang diketuai oleh Ustaz Salehuddin yang juga merupakan mantan Ketua Pemuda DPPPL ini bertolak ke Kelantan tepat jam 10.30 malam. Antara aktiviti yang telah berjaya dilaksanakan seperti dirancang ialah solat subuh berjamaah , sujud sajdah serta kuliah subuh bersama Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Rombongan juga sempat bergambar kenangan bersama anakanda Dato' Tuan Guru iaitu Ustaz Nik Adli dan Ustaz Nik Abduh dihadapan kediaman beliau. Pada sebelah malam pula rombongan dibawa ke satu forum anjuran Urusetia Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan. Forum yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad ke IV itu dibarisi ahli panel yang terdiri dari Ustaz Wan Sohor Bani Leman, Sdr Salleh Yaakob dan YB Senator Mumtaz membawakan tajuk , Poligami : Madu ko ppedu?.

Menurut Ketua Pemuda DPPPL Ustaz Suhairul Saad yang turut serta dalam lawatan ini, beliau meletakkan harapan yang tinggi agar lawatan seumpama ini akan melahirkan kesedaran serta semangat di kalangan peserta untuk meneruskan malah melipat gandakan gerak kerja parti apabila pulang ke Langkawi nanti. Beliau juga berharap agar semua ahli rombongan yang terdiri dari pemuda PAS dan Keadilan sekitar mukim Kedawang ini akan berganding bahu bersama-sama berusaha menumbangkan penguasaan UMNO/BN di Langkawi pada Pilihanraya Umum ke-13 yang akan datang.

Rombongan sampai di jeti Kuah, Langkawi pada 20 Feb 2010 jam 9 malam.


Sdr Ahmad Sukari menyampaikan cenderahati dari rombongan kepada wakil kepada YB Zaki Ibrahim ( Timb. Speaker DUN Kelantan)

Ustaz Abu Farid Nasr menyampaikan ucapan tashji' kepada para peserta rombongan.

Ustaz Suhairul Saad selaku KP DPPPL menyampaikan ucapan..

Dalam perjalanan pulang singgah sebentar menziarahi pusara syuhadak Memali..

Sekalung doa dipanjatkan kehadrat Ilahi moga roh para ulama' yang bersemadi di tanah perkuburan Parit Panjang ini beroleh rahmat dan syafaat dari Allah SWT.

........................................................................................................................................................................

KELANTAN YANG MAJU..

Penulis juga sempat merakamkan beberapa binaan samada di kampung mahupun di bandar yang menunjukkan kemajuan negeri Kelantan. Kini jelaslah bagi penulis bahawa momokan media UMNO/BN berkaitan kemunduran Kelantan sangat-sangat meleset dan berniat jahat. Berdasarkan pemerhatian penulis serta rakan-rakan yang mengikuti rombongan ini mendapati Kelantan jauh lebih maju jika nak dibandingkan dengan negeri-negeri yang diperintah oleh BN.. Kita takkan jumpa selain dari Kelantan di sesebuah kampung terdapat 10 hingga 20 buah rumah banglo yang dianggarkan harganya RM 100 ribu - RM 400 ribu.. malahan RM 1 juta - 3 juta. Inilah kemakmuran yang dinikmati rakyat Kelantan sejak lebih 20 tahun PAS memerintah.. Biarlah kerajaan nampak seperti miskin..tapi rakyatnya diberkati, makmur dan kaya raya... Adakah hanya rakyat Kelantan sahaja yang mampu menikmati 'Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur'ini..kita bagaimana? Lakukan perubahan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti, insyaAllah.. Allahu Akbar!







Rahimi Affandi Zakaria
Pengerusi Lajnah IT
Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi.

Wednesday, January 20, 2010

SEKITAR CERAMAH TN HJ MOHAMAD SABU..

Temonyong, 24 Jan - Semalam markas PAS Temonyong yang telah sekian lama sunyi kembali digegarkan dengan tempikan dan laungan 'Allahuakbar'. Tempikan dan laungan'AllahuAkbar' bergema disegenap pelusuk markas apabila penceramah terkemuka Tn Hj Mohamad Sabu telah menyampaikan mesej serta informasi bertenaga beliau berkenaan dengan sejarah serta situasi politik semasa.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Sdr Zubir bin Ahmad merangkap Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi yang kemudiannya disusuli oleh Tn Hj Adnan bin Saad yang merupakan salah seorang pimpinan PAS Negeri Kedah. Cuaca yang sangat baik semalam telah mengizinkan kehadiran yang sangat di luar jangkaan pihak penganjur. Pihak Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi (DPPPL) yang menjalankan usaha promosi ceramah ini amat berpuas hati di atas sambutan masyarakat terhadap penganjuran ceramah serta sesi penerangan ini. Menurut Setiausaha DPPPL, Sdr Nazmi bin Natzeri penganjuran program ini adalah antara 'buah mula' untuk masyarakat Langkawi bagi tahun 2010 ini sebelum disusuli program-program lain yang tidak kurang menarik untuk sepanjang tahun ini.

Atas kejayaan penganjuran ceramah serta program penerangan semalam pihak DPPPL mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih atas segala kerjasama terutama sekali kepada penceramah Tn Hj Mohamad Sabu bersama rombongannya, selain itu tidak lupa kepada semua warga PAS Langkawi yang bertungkus lumus sejak dari petang hari hingga selesai majlis semalam. Pihak DPPPL juga merakamkan penghargaan atas sambutan serta komitmen yang ditunjukkan masyarakat mukim kedawang khususnya dan warga Langkawi amnya dalam menjayakan majlis ini.





Monday, January 18, 2010

SOLAT HAJAT MOHON PULIH KESIHATAN US HARUN TAIB

Semalam bertempat di Surau Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU) Langkawi diadakan majlis solat hajat dan bacaan yasin semua pimpinan peringkat kawasan termasuk dewan ulama, dewan pemuda dan dewan muslimat. Usaha yang digerakkan Dewan Pemuda PAS Langkawi (DPPPL) ini diaturkan sejurus selepas menerima berita mengenai keadaan kesihatan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat YB Ustaz Dato Harun Taib yang diberitakan agak kritikal. Menurut sumber Ustaz Harun sekarang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Terengganu.

Pihak DPPPL memohon agar Allah SWT mengurniakan keselamatan serta mengembalikan kesihatan Ustaz Harun seperti sediakala serta berharap keluarga beliau dapat bersabar di atas segala ujian ini.





Saturday, January 9, 2010

KURSUS PEMANTAPAN P&P SRIDU




Sabtu, 9 Januari 2010 - Satu kursus pemantapan pengajaran dan pembelajaran untuk guru-guru SRIDU Langkawi telah diadakan baru-baru ini. Kursus yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS langkawi (DPPPL) ini memberi input yang sangat berharga kepada tenaga pengajar sekolah ini yang seramai 21 orang setakat ini. Ianya dianjurkan sebagai salah satu usaha pihak DPPPL untuk memantapkan kemahiran serta ilmu di kalangan guru-guru SRIDU supaya ianya memberi impak positif kepada murid-murid pada masa akan datang. Kursus ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada guru-guru tentang permasalahan yang dialami sekolah-sekolah yang bergerak sendiri tanpa bantuan kerajaan persekutuan serta mendedahkan teknik dan cara bagaimana untuk bergerak lancar walaupun penuh kekurangan.

Kursus yang disampaikan oleh Cikgu Hashim dari salah sebuah sekolah menengah terkemuka di Langkawi ini bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tgh. Kursus yang pada awalnya dijangka berakhir pada pukul 10.30 pagi terpaksa dilanjutkan ke pukul 12.30tgh disebabkan sambutan serta minat yang ditunjukkan para guru mengutarakan pandangan serta persoalan.

Monday, December 21, 2009

Tahniah Atas Kejayaan Konvensyen Pakatan Rakyat Kali-1


Pihak Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi mengucapkan tahniah di atas kejayaan penganjuran Konvensyen Pakatan Rakyat kali pertama yang menjadi langkah pertama untuk langkah-langkah seterusnya ke arah kejayaan Pilihanraya Umum ke-13 akan datang. Pihak DPPP Langkawi amat berharap kejayaan penganjuran konvensyen tersebut akan membakar semangat seluruh warga Pakatan Rakyat khususnya warga DPPP Langkawi dan PAS keseluruhannya untuk menggandakan usaha dan semangat demi melihat kejayaan PR sebagai pengganti dan penyelamat kepada kegawatan yang melanda Malaysia sekarang ini.

Tahniah Pakatan Rakyat..!
Suhairul Bin Saad
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Parlimen Langkawi.

Tuesday, December 1, 2009

PROGRAM PENGHAYATAN JIHAD



PANTAI CHENANG, 30 Nov -Pas Langkawi melalui Lajnah Penerangan dan Dakwah sekali lagi berjaya menganjurkan Program Penghayatan Jihad yang merupakan program yang julung-julung kali diadakan di kawasan ini. Program anjuran bersama antara Lajnah Penerangan dan Dakwah serta Dewan Pemuda PAS Langkawi berjaya menarik penyertaan lebih kurang 80 orang peserta. Program yang diadakan di CD Motel Pantai Chenang ini dimulakan jam 8.30 pagi dan berakhir lebih kurang jam 5.30 petang.

Program bermula dengan ucapan aluan Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Sdr Zubir Bin Ahmad dan kemudiannya ucapan dari Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Langkawi, Ustaz Yusof bin Ismail. Antara pembentang kertas kerja pada program ini adalah Ustaz Abu Farid Nasr Hj Awang, Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan Dewan Pemuda PAS Langkawi diikuti pembentang kertas kerja yang kedua Ustaz Mohd Lutfi bin Ariffin yang juga merupakan Ahli Jawatan Kuasa Dewan Ulamak PAS Kedah. Manakala sesi penggulungan yang sepatutnya disempurnakan pada sebelah petang terpaksa ditangguhkan ke sebelah malamnya disebabkan kelewatan tiba Ustaz Nasrudin Hassan At-Tantawi ke tempat program. Walaupun tertangguh namun sesi penggulungan Program Penghayatan Jihad ini berjaya diadakan juga serentak bersama majlis ceramah di Markas PAS Sg Itau, Ayer Hangat.

En Ahmad Bin Sidek selaku Pengarah Program merangkap Ketua Penerangan PAS Kawasan Langkawi menyifatkan program ini sebagai berjaya mencapai objektif yang digariskan. Beliau juga amat mengharapkan usaha yang berterusan digembelingkan bersama agar program-program kefahaman dan tarbiyah ini makin disuburkan disegenap peringkat dalam parti.

Turut hadir dalam majlis ini, Yang Dipertua PAS Langkawi, Saudara Zubir Bin Ahmad serta seluruh kepimpinan Kawasan serta barisan kepimpinan Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Penyertaan yang memberangsangkan juga datang dari kalangan pimpinan-pimpinan cawangan secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada pihak penganjur untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan dalam kalendar Lajnah bagi masa-masa akan datang.

Sesi pendaftaran peserta

YDP PAS Langkawi Sdr Zubir Ahmad (kanan) bersama Timb. Ketua Dewan Ulamak PAS Langkawi Ustaz Yusof Bin Ismail

Tayangan Video Dokumentasi Perjuangan Almarhum Ustaz Fadzil Noor diselitkan antara pembentangan kertas kerja

Antara muslimat yang hadir

Antara Muslimin yang hadir

Pembentangan Kertas Kerja pertama oleh Ustaz Abu Farid Nasr Hj Awang bertajuk Fiqh Daulah atau Fiqh Kerajaan.

Kertas kerja kedua dibentangkan oleh Ustaz Mohd Lutfi Bin Ariffin berjaya membuka mata dan hati peserta tentang kepentingan jihad dalam kehidupan berjamaah.

Antara peserta yang tidak melepaskan peluang mengemukakan pandangan serta persoalan.

'Budi Ditabur Jasa Dibalas'..

Pemerkasaan program tarbiyah di semua peringkat menjadi agenda utama jamaah bagi memantapkan organisasi serta melahirkan generasi qiyadi dan jundi yang menyumbang kepada jamaah.